Friday, February 26, 2010

Rajukku yang panjang...

Maulana Bahaudin ada memberitahu saya, "Auliya never feel disappointed.."

Jauhnya saya dari para Auliya.

Saya rasa tersisih. Dari orang2 yang saya sayang.

Sebab...macam2 yang terjadi. Dan, saya mula rasa kecewa. Yang teramat.

Lalu, saya cari kekuatan diri. Saya katakan pada diri, "Inilah yang perlu dilakukan. Redha dengan apa yang terjadi, kerana ini yang terbaik buat saya masa ini."

Maha Suci Engkau Ya Allah. Engkaulah Penguasa sekelian alam dan segala isinya. Engkaulah sebaik-baik pengatur dan perancang. Aku hanya hambaMu yang lemah, yang sering kalah dengan perasaan. Berikan aku kekuatan. Berikan aku keberkatan. Berikan aku kasih sayangMu Ya Allah.

Dugaan ini yang terhebat buatku. Kekecewaan ini yang paling berat pernah aku rasai. Ampunkan aku Ya Allah kerana seringkali lupa dengan kasih sayangMu. Inikah balasan atas kealpaanku padaMu? Jika ia, aku terima dengan sepenuh hati. Jika bukan, aku redha kerana ia bahagianku. Aku hanyalah hambaMu yang lemah, hina dan miskin. Kuatkanlah aku, muliakanlah aku dan kayakanlah aku Ya Allah.


Saya berdoa semoga rajuk saya akan berakhir...kerana saya rasa buruk kalau orang tua merajuk...

Sunday, February 21, 2010

Apakah maksudnya?

Malam tadi, saya bermimpi. Mimpi yang dahsyat sekali.

Saya sempat menghabiskan surah Hud sebelum Abo mengajak saya ke atas. Saya terus tidur sebaik saya baringkan badan.

Saya terasa suami baring di sebelah selepas beberapa ketika. Namun, mata seolah digam.

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu perasaan. Saya rasa bukan dia di sebelah saya. Saya terduduk dan melihat wajahnya rapat2. Ya Allah. Itu memang dia. Apa yang mengganggu saya?

Saya kembali tidur selepas membaca ayat Kursi.

Tidak lama kemudian, saya terdengar suami cuba menjerit. Allah hu akbar. Allah hu akbar. Allah hu akbar.

Sebutannya pelat. SUaranya menggigil.

Saya genggam tangannya dan dia balas dengan genggaman yang amat kuat.

Saya baca lagi ayat Kursi, kali ini di telinganya.

Kemudiannya saya bermimpi. Saya sedang berada di dalam rumah bila saya terlihat ada orang datang. Seorang perempuan yang saya rasa saya kenali, tapi saya tidak dapat mengingat wajahnya. Dia begitu sibuk menggali lubang di halaman rumah saya. Dia duduk bertinggung. Saya panggil kakak ipar saya, Kak Gee, yang berada di dalam. Kak Gee beristighfar berkali2.

Perempuan tadi terus-terus menggali dengan kedua tangannya tanpa peduli akan kehadiran kami yang memerhati. Kemudiannya saya nampak dia mencapai sesuatu dari dalam lubang tadi dan menelannya dengan lahap. Tanah dan selut bersemuih di mulutnya.

Kemudian dia beredar dengan laju dari rumah saya. Dia tidak berjalan, tetapi mengesot. Saya takut, Kak Gee asyik beristighfar dan membaca ayat Kursi.

Saya terjaga. Saya ambil wudhuk dan solat 2 rakaat. Kemudian, saya baring kembali. Mata saya terbuka luas. Tidak boleh tidur. Jam baru pukul 4.

Saya sambung solat lagi. AKhirnya saya terlelap di atas sejadah...

Saya bangun bila terdengar azan subuh. Selepas solat, saya bangunkan suami. Lepas dia selesai solat, saya tanya kenapa dia mengigau.

Katanya, "Ada perempuan datang dan paksa Abang ambil sesuatu dari dia / or dia nak ambik sesuatu dari Abang. Abang tak nak, tapi dia paksa. Bila Abang jerit Allah hu akbar, dia menjauh, pastu dia datang rapat lagi: sampailah ada orang tarik Abang dari situ."

Saya ceritakan apa yang saya mimpikan dan apa yang saya rasakan sebelum dia mengigau.

Kami berpandangan. Tidak faham maksud yang tersirat. Teringat kata-kata Ustaz Ariffin sewaktu suami saya berubat 3 tahun lalu.

"Orang yang menghantar sihir ini akan telan balik apa yang dia hantar kat kamu. Kamu akan bermimpi melihat wajah dia walaupun kamu tidak mahu tahu siapa dia. Dia seseorang yang kamu kenal, agak rapat."

Apakah yang muncul malam tadi adalah 'dia', yang menelan kembali apa yang 'dihantar' kepada kami sekeluarga hingga suami saya sakit teruk sepanjang 2006/07 dulu? Wallahualam. Hanya Dia yang mengetahui. Apapun, kami redha dan bersyukur kerana segalanya telah berlalu. Biarlah si dia menjawab kepada Yang Maha Esa. Kami tidak perlu tahu siapa dirinya, kerana kami tidak bermusuh dengan sesiapa.

Monday, February 15, 2010

Teman

Berjauhan dari keluarga amat memeritkan. Kehidupan di India, biarpun zahirnya indah, sebenarnya terlalu sukar buat saya: seorang isteri dan seorang ibu. Apa yang saya inginkan terjadi setiap hari? Buka mata dan melihat wajah suami di sebelah. Melihat dia membuka mata, kemudian tersenyum ke arah saya, sambil melayangkan ciuman ringkas... amat saya nantikan.

Selepas solat subuh, saya akan mengetuk pintu bilik anak2, mengejutkan mereka untuk solat dan kembali ke bilik selepas mereka keluar dari bilik air dengan wudhu'. Kali ini giliran si ayah pula untuk digerakkan. Tarik jari, tak bangun. Urut kaki, hanya menggeliat. Letak tangan di pipi, dia tersenyum... akhirnya, dia hanya akan bangun selepas saya tarik kedua2 tangannya...

Saya akan sibuk di dapur menyiapkan sarapan, dan satu demi satu muncul di dapur sambil mengusik saya. Ada yang cium, ada yang salam, ada yang hanya tersenyum.... Lala, dengan muncung tajam dan suara mengada-ngada, akan cuba menarik perhatian saya dengan "akak sakit peruuutttt..." atau "akak peniiiingggg" atau "akak ngantuuuukkkk"... Mimie dengan penuh semangat akan menceritakan rancangannya hari itu dengan lengkap. Abey akan hanya tersenyum, sambil kata, "Mama masak apa?". Akhir sekali, Papa akan turun dan memeluk saya dari belakang sedang saya sibuk menyiapkan sajian, sambil menyorokkan wajahnya... Si kenit Abo akan mula membuat riuh dengan keletahnya, tidak mahu mandi, tidak mahu gosok gigi, berlari keliling rumah sambil dikejar oleh Bibik... dan akhirnya akan memeluk kaki saya dan menangis. Selepas diangkat, dicium dan digomol, dia akan ketawa dan meronta minta dilepaskan.

Kami akan makan bersama, sambil masing2 cuba memberitahu apa yang telah mereka lakukan dan akan mereka lakukan hari itu. Selesai sarapan, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton TV, rancangan katun Abo, yang telah beribu kali kami tonton bersama, dan beribu kali juga kami kata, "tak de ke cerita lain Bo?"....

Jika tiada apa-apa aktiviti, kami akan masuk ke dalam kereta dan Papa akan membawa kami ke kedai motor... hampir kesemua kedai motor besar telah kami lawati: bukan sekali, berpuluh kali. Abey dan Jimie tidak akan jemu untuk bergaya di atas motor, Lala dengan gediknya akan kata, "Ma...cantik tak akak atas motor ni?" dan kami semua akan ketawa melihat dia terkial2 cuba menjejakkan kakinya di atas lantai....

Selalunya, kami akan menikmati makan tengahari di kedai makan, warung, KFC, McD atau mungkin ke KLCC... berjalan tanpa tujuan. Pasti tidak terkecuali Kinokuniya, masing2 akan tenggelam dalam buku-buku.... Sesekali kami akan ke rumah Acik untuk melepak, atau ke Tasik Titiwangsa. Lala dan Jimie dibesarkan di KL, dan mereka ada banyak memori di Tasik Titiwangsa. Tiap kali ke sana, mereka akan lakonkan kembali apa yang mereka lakukan dulu... Masjid Kg Baru menjadi kegemaran kami untuk bersolat, paling tidak kami lupakan bihun sup utara yang terletak berhampiran...

Selepas penat seharian, kami akan pulang dengan hati yang puas. Tidak sampai 5 minit dalam kereta, kesemua mereka akan terlentok kepenatan. Macam2 aksi kelihatan. Lala dan Abo di kerusi belakang, Jimie dan Abey di barisan tengah. Kadang2 mereka bergaduh disebabkan si Kenit suka cari pasal...Hanya kami berdua yang akan berjaga, dan selalunya dia akan genggam tangan saya sepanjang perjalanan sambil sebelah lagi tangannya berada di stereng. Selalunya bila sampai di rumah, Lala akan teruskan aktiviti tidornya di kerusi panjang, Jimie akan keluar mencari kawan2 sementara Abey akan ke padang bermain bola. Abo pula akan mula memerintah Tini menemaninya ke padang atau ke rumah Abdullah, paling tidakpun ke rumah Umairah untuk bermain.

Saya rindukan semua itu. Saya bermimpi yang mereka ada di sekeliling saya ketika ini. Malang sekali saya telah kehilangan 'touch' yang begitu ringkas namun amat signifikan (meminjam ayat Prof MKI) dalam sebuah kehidupan.

Di sini, saya tercari-cari teman. Selepas setahun, saya telah temui teman sejati ketika bersendirian. Al-Quran, solat2 malam dan puasa sunat. Tumpuan saya kini tidak lagi kepada melayan kesunyian, kerana saya telah pun berteman..... Maha Suci Allah.

Friday, February 12, 2010

Perasaan

Hancur. Luluh. Sedih. Kecewa.

Saya berada jauh darinya. Saya rindukan dia setiap ketika. Saya impikan dia sepanjang malam. Saya mengharap melihat wajahnya ketika saya buka mata dari tidur yang lena....

Saya hubungi dia. Hanya untuk mendengar suaranya. Ingin mengubat rindu.

Entah mengapa dia naikkan suaranya. Hati saya cukup terluka.

Airmata terus mengalir deras. Tidak mampu saya bendung. Tidak mampu saya tahan.

Begitu sekali perasaan saya. Terluka dan tersentuh. Teramat sangat.

Sabarlah hati... Dia sendiri sedang terluka agaknya.... Sabarlah. Perpisahan ini amat menyakitkan. Bukan untuk saya saja, lebih lagi untuk dia....

Airmata... janganlah gugur lagi. Kuatlah....

Monday, February 8, 2010

Jatuh Cinta

Saya jatuh cinta.

Dengan dia.

Siapa sangka. Banyak sangat yang berlaku akhir2 ini. Kehidupan berlari pantas. Mengejar entah apa.

Sesekali melihat helaian rambut yang makin memutih. Hati berkata: sampai bila harus aku korbankan diri. Demi mencapai cita2.

Saya inginkan senyuman saya kembali.

Lalu, saya bertemu dengannya.

Dalam suasana damai, tenang.

Yang telah lama saya dambakan.

Saya mulai merasa indahnya saat manis bersamanya.

Saya rindukan dia, amat rindu. Saya pasti tidak sanggup untuk hidup tanpanya.

Saya merasa keasyikan cinta.

Saya mula sekali lagi.

Jatuh cinta dengan indahnya ayat2 cinta, dari Pencipta kepada hambaNya.

Ia amat membahagiakan.