Monday, February 15, 2010

Teman

Berjauhan dari keluarga amat memeritkan. Kehidupan di India, biarpun zahirnya indah, sebenarnya terlalu sukar buat saya: seorang isteri dan seorang ibu. Apa yang saya inginkan terjadi setiap hari? Buka mata dan melihat wajah suami di sebelah. Melihat dia membuka mata, kemudian tersenyum ke arah saya, sambil melayangkan ciuman ringkas... amat saya nantikan.

Selepas solat subuh, saya akan mengetuk pintu bilik anak2, mengejutkan mereka untuk solat dan kembali ke bilik selepas mereka keluar dari bilik air dengan wudhu'. Kali ini giliran si ayah pula untuk digerakkan. Tarik jari, tak bangun. Urut kaki, hanya menggeliat. Letak tangan di pipi, dia tersenyum... akhirnya, dia hanya akan bangun selepas saya tarik kedua2 tangannya...

Saya akan sibuk di dapur menyiapkan sarapan, dan satu demi satu muncul di dapur sambil mengusik saya. Ada yang cium, ada yang salam, ada yang hanya tersenyum.... Lala, dengan muncung tajam dan suara mengada-ngada, akan cuba menarik perhatian saya dengan "akak sakit peruuutttt..." atau "akak peniiiingggg" atau "akak ngantuuuukkkk"... Mimie dengan penuh semangat akan menceritakan rancangannya hari itu dengan lengkap. Abey akan hanya tersenyum, sambil kata, "Mama masak apa?". Akhir sekali, Papa akan turun dan memeluk saya dari belakang sedang saya sibuk menyiapkan sajian, sambil menyorokkan wajahnya... Si kenit Abo akan mula membuat riuh dengan keletahnya, tidak mahu mandi, tidak mahu gosok gigi, berlari keliling rumah sambil dikejar oleh Bibik... dan akhirnya akan memeluk kaki saya dan menangis. Selepas diangkat, dicium dan digomol, dia akan ketawa dan meronta minta dilepaskan.

Kami akan makan bersama, sambil masing2 cuba memberitahu apa yang telah mereka lakukan dan akan mereka lakukan hari itu. Selesai sarapan, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton TV, rancangan katun Abo, yang telah beribu kali kami tonton bersama, dan beribu kali juga kami kata, "tak de ke cerita lain Bo?"....

Jika tiada apa-apa aktiviti, kami akan masuk ke dalam kereta dan Papa akan membawa kami ke kedai motor... hampir kesemua kedai motor besar telah kami lawati: bukan sekali, berpuluh kali. Abey dan Jimie tidak akan jemu untuk bergaya di atas motor, Lala dengan gediknya akan kata, "Ma...cantik tak akak atas motor ni?" dan kami semua akan ketawa melihat dia terkial2 cuba menjejakkan kakinya di atas lantai....

Selalunya, kami akan menikmati makan tengahari di kedai makan, warung, KFC, McD atau mungkin ke KLCC... berjalan tanpa tujuan. Pasti tidak terkecuali Kinokuniya, masing2 akan tenggelam dalam buku-buku.... Sesekali kami akan ke rumah Acik untuk melepak, atau ke Tasik Titiwangsa. Lala dan Jimie dibesarkan di KL, dan mereka ada banyak memori di Tasik Titiwangsa. Tiap kali ke sana, mereka akan lakonkan kembali apa yang mereka lakukan dulu... Masjid Kg Baru menjadi kegemaran kami untuk bersolat, paling tidak kami lupakan bihun sup utara yang terletak berhampiran...

Selepas penat seharian, kami akan pulang dengan hati yang puas. Tidak sampai 5 minit dalam kereta, kesemua mereka akan terlentok kepenatan. Macam2 aksi kelihatan. Lala dan Abo di kerusi belakang, Jimie dan Abey di barisan tengah. Kadang2 mereka bergaduh disebabkan si Kenit suka cari pasal...Hanya kami berdua yang akan berjaga, dan selalunya dia akan genggam tangan saya sepanjang perjalanan sambil sebelah lagi tangannya berada di stereng. Selalunya bila sampai di rumah, Lala akan teruskan aktiviti tidornya di kerusi panjang, Jimie akan keluar mencari kawan2 sementara Abey akan ke padang bermain bola. Abo pula akan mula memerintah Tini menemaninya ke padang atau ke rumah Abdullah, paling tidakpun ke rumah Umairah untuk bermain.

Saya rindukan semua itu. Saya bermimpi yang mereka ada di sekeliling saya ketika ini. Malang sekali saya telah kehilangan 'touch' yang begitu ringkas namun amat signifikan (meminjam ayat Prof MKI) dalam sebuah kehidupan.

Di sini, saya tercari-cari teman. Selepas setahun, saya telah temui teman sejati ketika bersendirian. Al-Quran, solat2 malam dan puasa sunat. Tumpuan saya kini tidak lagi kepada melayan kesunyian, kerana saya telah pun berteman..... Maha Suci Allah.

1 comment: