Sunday, February 21, 2010

Apakah maksudnya?

Malam tadi, saya bermimpi. Mimpi yang dahsyat sekali.

Saya sempat menghabiskan surah Hud sebelum Abo mengajak saya ke atas. Saya terus tidur sebaik saya baringkan badan.

Saya terasa suami baring di sebelah selepas beberapa ketika. Namun, mata seolah digam.

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu perasaan. Saya rasa bukan dia di sebelah saya. Saya terduduk dan melihat wajahnya rapat2. Ya Allah. Itu memang dia. Apa yang mengganggu saya?

Saya kembali tidur selepas membaca ayat Kursi.

Tidak lama kemudian, saya terdengar suami cuba menjerit. Allah hu akbar. Allah hu akbar. Allah hu akbar.

Sebutannya pelat. SUaranya menggigil.

Saya genggam tangannya dan dia balas dengan genggaman yang amat kuat.

Saya baca lagi ayat Kursi, kali ini di telinganya.

Kemudiannya saya bermimpi. Saya sedang berada di dalam rumah bila saya terlihat ada orang datang. Seorang perempuan yang saya rasa saya kenali, tapi saya tidak dapat mengingat wajahnya. Dia begitu sibuk menggali lubang di halaman rumah saya. Dia duduk bertinggung. Saya panggil kakak ipar saya, Kak Gee, yang berada di dalam. Kak Gee beristighfar berkali2.

Perempuan tadi terus-terus menggali dengan kedua tangannya tanpa peduli akan kehadiran kami yang memerhati. Kemudiannya saya nampak dia mencapai sesuatu dari dalam lubang tadi dan menelannya dengan lahap. Tanah dan selut bersemuih di mulutnya.

Kemudian dia beredar dengan laju dari rumah saya. Dia tidak berjalan, tetapi mengesot. Saya takut, Kak Gee asyik beristighfar dan membaca ayat Kursi.

Saya terjaga. Saya ambil wudhuk dan solat 2 rakaat. Kemudian, saya baring kembali. Mata saya terbuka luas. Tidak boleh tidur. Jam baru pukul 4.

Saya sambung solat lagi. AKhirnya saya terlelap di atas sejadah...

Saya bangun bila terdengar azan subuh. Selepas solat, saya bangunkan suami. Lepas dia selesai solat, saya tanya kenapa dia mengigau.

Katanya, "Ada perempuan datang dan paksa Abang ambil sesuatu dari dia / or dia nak ambik sesuatu dari Abang. Abang tak nak, tapi dia paksa. Bila Abang jerit Allah hu akbar, dia menjauh, pastu dia datang rapat lagi: sampailah ada orang tarik Abang dari situ."

Saya ceritakan apa yang saya mimpikan dan apa yang saya rasakan sebelum dia mengigau.

Kami berpandangan. Tidak faham maksud yang tersirat. Teringat kata-kata Ustaz Ariffin sewaktu suami saya berubat 3 tahun lalu.

"Orang yang menghantar sihir ini akan telan balik apa yang dia hantar kat kamu. Kamu akan bermimpi melihat wajah dia walaupun kamu tidak mahu tahu siapa dia. Dia seseorang yang kamu kenal, agak rapat."

Apakah yang muncul malam tadi adalah 'dia', yang menelan kembali apa yang 'dihantar' kepada kami sekeluarga hingga suami saya sakit teruk sepanjang 2006/07 dulu? Wallahualam. Hanya Dia yang mengetahui. Apapun, kami redha dan bersyukur kerana segalanya telah berlalu. Biarlah si dia menjawab kepada Yang Maha Esa. Kami tidak perlu tahu siapa dirinya, kerana kami tidak bermusuh dengan sesiapa.

1 comment: