Wednesday, May 26, 2010

Mengapa?

Hilangkah sudah rasa kasihanmu pada diriku?
Apakah aku ini sampah?
Mengapa engkau bersikap begini terhadapku?
Terlalu hinakah aku ini?
Murah sangatkah sehingga aku perlu menagih?
Mengharap dan terus mengharap?

Apa lagi yang kau mahu dariku?
Sampai bila?
Bukan aku tidak berterus terang padamu
Telah ku luahkan segala yang membuku
Agar kau fahami isi hatiku

Namun kau terus biarkan aku
Bertepuk sebelah tangan
Bagai pungguk rindukan bulan
Bagai pantai yang menanti ombak
Datang dan pergi sesuka hati
Tiada kesetiaan
tiada kepastian

Tolonglah aku ini
Berikan aku kehidupan
Biarkan aku bernafas
walau dalam lumpur
asal ianya menggembirakan

Perhatikan wajahku
Lihat ke dalam mataku
Aku rindukanmu...


NB: Sajak jiwang di pagi Khamis....entah apa2...

Sunday, May 23, 2010

Bersara Awal

Bulan Februari 2010: saya amat terbeban dengan tuntutan untuk saya ke India. Waktu itu, anak saya baru sembuh dari kemalangan yang menyebabkannya patah tulang bahu.

Saya hanya dapat bercuti seminggu bersamanya sebelum saya kembali ke India untuk 2 minggu seterusnya. Saya menangis setiap hari. Saya benci dengan keadaan yang teruk itu. Walaupun saya pernah berhasrat untuk menamatkan perkhidmatan saya dalam tahun ini juga, namun keadaan yang saya alami waktu ini memualkan saya.

Saya pulang ke Malaysia dan bertekad. Saya ke Mumbai untuk 3 hari, bertemu dengan ramai teman baru yang memberi persepsi berbeza. Kemudiannya saya ke Singapura bersama keluarga dan saya temui jawapan yang saya cari.

Saya ke India lagi, dan saya pasti, itu yang terakhir. Saya penat. Saya bosan. Saya sakit. Lalu saya khabarkan kepada tuan2 besar...ramai yang menghalang walaupun ada seorang yang cukup gembira.

Saya bercadang untuk berkhidmat dengan syarikat lain. Tapi, takdir Tuhan mengatasi segala2nya. Perancangan saya tidak menjadi kenyataan. Mulanya saya buntu, keliru dan ketakutan. Tapi kemudiannya saya terfikir...

Lagi beberapa tahun aku akan menjejak setengah abad. Badanku ini sudah penat bekerja. Otakku sudah haus kerana tidak seminitpun dia berehat...kadangkala dalam tidur pun aku bekerja. Apa kata jika aku bersara?

Ramai kakitangan awam yang memilih untuk bersara awal pada usia 40 tahun. Mereka kemudiannya memulakan perniagaan sendiri ataupun tinggal di rumah menguruskan rumahtangga. Kalau mereka boleh, apa kurangnya aku?


Sejak seminggu lalu, saya bangun tidur dengan satu perasaan yang cukup berbeza dengan perasaan bangun tidur sejak 22 tahun lalu. Saya mula merasa gembira berada dalam kelompok 'makcik2 dan kakak2' yang bersenam dan bertaichi di taman tasik. Saya mula merasa teruja untuk menghadiri majlis ilmu di surau berhampiran. Saya mula menyimpan keinginan untuk memasak masakan2 yang menjadi kegemaran anak2. Saya bersemangat untuk membantu teman2 menyediakan business plan dan business proposal dengan upah sepinggan nasi dan segelas air. Saya seronok mencabar si kenit ejaan, spelling, dictation dan rencana, sambil membuat dia mengira sepanjang masa. Saya bayangkan si Abang yang agak 'lemah' dalam pelajaran berjaya mendapat 10A+ dalam SPM tahun hadapan. Saya suka melihat senyuman suami setiap kali beliau pulang.

Saya tiada persediaan dari segi kewangan. Simpanan: sifar. Perniagaan: tiada. Pelaburan: RM10 dalam ASB.

Bagaimana boleh saya putuskan untuk bersara jika tiada persiapan?

Saya bermohon hanya kepada Allah yang satu agar saya diberi rezeki yang melimpah ruah dan Dia akan tunjukkan kepada saya jalan terbaik yang harus saya ambil untuk memastikan keluarga saya tidak menghadapi kesukaran dalam kehidupan seharian kami. Tolonglah hambaMu ini Ya Allah....

Thursday, May 20, 2010

Kenangan Lalu...

Saya suka lagu ini...

Kuala Lumpur senyumanmu
di pagi ini
sungguh bererti kerna cinta bersemi lagi
setelah kemarau panjang...


dan lagu ini

Ohhhh apa khabar sang suria
Ohhhh ku harap kau gembira


juga lagu ini

Di angin lalu ku sampaikan kerinduan
wajahmu ku terbayang
bersama janjimu ku bawa dalam mimpi
ku bawa dalam mimpi...


Lagu2 ini adalah kegemaran saya sepanjang persekolahan...tahun 80an.

Beberapa bulan lalu saya diketemukan dengan teman2 sekolah. SMTKL @ TIKL, sekolah yang menjadi sejarah buat saya. Saya bencikan sekolah ini sejak sekian lama. Banyak memori hitam di sini. Saya kecundang dalam mencapai cita2 di sini. Dan banyak lagi...

Namun, kehadiran kembali teman2 dalam hidup saya mengubah persepsi saya tentang kehidupan ini. Merekalah saudara mara selama 2 tahun di sekolah bertuah ini. Kini, saya berdiri gagah menjadi seorang yang cukup berani dan lantang bersuara, dikenali dan dihormati...hasil didikan sekolah ini.

Populariti saya bukan hanya dari sekolah ini. Ia bermula sejak awal. Asalnya kerana nama. Ditambah dengan sikap saya yang suka berada di hadapan... suka dikenali...suka menjadi perhatian. Ohhh...begitukah saya?

Saya bersyukur kerana saya ditemukan kembali dengan mereka. Biarpun agak sukar melupakan kisah lalu...kenangan manis yang pastinya kekal dalam benak fikiran saya...
kehidupan saya lebih baik kini... dan saya gembira dengan apa yang saya ada.

Sunday, May 16, 2010

Sabarlah....

Adikku,
Dugaan ini berat buatmu.
Amat berat.

Permata di dalam kandunganmu tidak akan mengerti
Penderitaan yang kau tanggung
Bersendirian mengharungi kepayahan
tanpa suami

Sukar sebenarnya adikku
Untuk aku mengungkapkan kata
Aku hanya boleh melihat dan memandang
Dari jauh

Biarlah dia pergi
Kau memang tiada di hatinya lagi
Biarpun dia amat kau sayangi
Itu bukan jaminan kehidupan
Suami yang tidak tahu mensyukuri
Biarkan saja

Adikku
Talak di tangannya
Menangis darah sekalipun
Telah jatuh ia atasmu
Maka bersendirianlah kau adikku
Bersama permata bernilai itu
Yang bakal kau tatap wajahnya lima bulan lagi.

Kami di sisimu
Depan, belakang, kiri dan kanan
Bersamamu
Siang, malam, pagi dan petang

Sabarlah adikku
Allah sedang mendugamu
Dan kami semua....

Berikan keampunanMu pada kami Ya Allah.

Thursday, May 13, 2010

Enjoying my Frustration

Sebaik saya turunkan dia di sekolah, saya akan memandu ke tempat itu. Saya sedang teruja....

Di sana menanti beberapa 'makcik dan pakcik' yang sedang bermandi peluh. Ada muzik, ada bunyi kicau burung, ada angin sepoi2 bahasa, ada bau rumput yang baru dipotong....

Sejam bersama mereka amat melegakan segala otot2 dan kekejangan di kepala saya. Saya gembira sebenarnya.

Sudah beberapa hari saya beriadah bersama sekumpulan warga emas di tepi tasik. Membuang toksin yang berada dalam badan, di samping mengharap ada perubahan dalam timbangan berat saya yang kini berada di tahap melampau.

Saya bertemu sesuatu yang baru! Sejam melaluinya, saya lupa keserabutan dalam otak saya! 7 hari seminggu.... rasanya ia cara yang amat berkesan, mudah, membanggakan dan tentu sekali murah.... hanya perlu diperuntukkan masa dan semangat juang yang tinggi...

Sunyi...sepi...

Kesian dia...kesunyian. Dah biasa berteman, kini bersendirian.

Entah apa dalam hatinya.

Bagaimana dia menghadapinya?

Habis semua buku dibaca.

Semua saluran TV ditonton.

Tapi dia tetap resah...

Sunyi membuat suasana sepi.

Sepi membuat hatinya sunyi.

Kesian dia....

Tuesday, May 11, 2010

So Close

Raja

Saya berkenalan dengannya sewaktu sedang beratur untuk menaiki kapalterbang. Beliau warganegara Britain, berasal dari Singapura, dan dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Seorang yang nampaknya banyak pengalaman, dan amat berminat untuk tahu lebih banyak tentang saya. Saya yang mengantuk dan otak penuh dengan persoalan, agak mengabaikan beliau.

Keesokan harinya, saya terima panggilan beliau. Oh...saya beri beliau kad perniagaan saya. Makanya, setiap hari saya akan bercakap dengannya di talian. Bosan? Kadangkala terganggu juga.... Namun, saya percaya ada sebab di sebalik ini semua. Saya teruskan persahabatan dengannya dan saya berdoa agar saya peroleh yang terbaik dari persahabatan ini.

MZSIIN

Mereka teman2 lama saya. Saya berkongsi pengalaman dengan mereka tentang usaha mereka untuk mencari kejayaan dalam hidup. MZ penuh dengan semangat, namun kadangkala keterujaannya membuatkan dia bertindak mengikut emosi.

SI cool dan memahami perjalanan hidup secara korporat. Usaha kami masih berterusan.

Saya tidak mengharap banyak dari usahasama ini. Saya yakin kejayaan menanti di hadapan. Bagaimana saya boleh melakukannya, Allah saja yang tahu.

Ra Man

Saya keliru dengan dia. Kata2nya berbalik2. Saya sudah mengambil satu langkah yang begitu besar dalam hidup, dan beliau masih belum bersedia untuk mengambil langkah beliau seperti yang dijanjikan.

Saya mula berfikir... Ini yang terbaik buatku. Dia hanya penyebab untuk aku mengambil satu keputusan yang baik. Biarkan dia, tidak perlu diganggu dia lagi. Banyak lagi di luar sana yang boleh dilakukan.

SD

Ini adalah satu permata berharga buat saya. Banyak potensi yang boleh dilihat dari SD. Namun, pergerakan saya terbatas kerana kekurangan dana. Saya perlukan ruang besar supaya saya boleh terbang dan membina istana bahagia di negara awan Doraemon... Oh Tuhan... jadikan ianya satu kenyataan Ya Allah. Saya yakin bahawa ini akan membawa saya ke dunia serba mewah yang menjadi impian setiap manusia di muka bumi ini...

Fx

Saya sedang mempelajarinya; dengan tekun. Saya nampak $$$$ yang menanti di hadapan. Saya berdoa semoga ianya menjadi mudah buat saya....

Saturday, May 8, 2010

Mak & Bapak

Mak anak Atuk dan Mak Wo. Mak anak keempat dari lapan beradik, orangnya cantik, putih melepak, tinggi, saiz badannya lebih kurang aku... Aku masih ingat kecantikan mak yang sentiasa menjadi perhatian orang kampung.

Keluarga mak orang senang, tuan tanah kedaung, kata orang kampung. Mak Wo asalnya orang Melaka, tapi ayah dia pindah ke Pandamaran, tak silap. Saiz Mak Wo kecik je. Kurus, rendah dan gelap kulitnya. Atuk pulak badan macam Mak. Tinggi, putih, tegap. Handsome orangnya. Asalnya Atuk dari Singapura. Kemudian keluarga dia pindah ke Batu Belah. Makanya, Mak jadi orang Kelang.

Atuk dengan Mak Wo ada banyak tanah. Berpuluh2 ekar, mungkin beratus kot. Di kalangan orang kampung, mereka ni orang senang.

Mak tak pernah pegi sekolah. Kata mak, seawal umur 9 tahun dah ada orang meminang dia. Akhirnya, umur mak 13 tahun dia dah jadi isteri orang. Suami mak 'setua' Atuk. Mak dikahwinkan dengan kawan bapak dia.... Orang kaya kampung. Orangnya pendek je...

Mak kawin tak sampai seminggu. Dia lari balik umah Atuk. Maka, jadilah mak "Janda Berhias" atau "Janda Muda". Dengan wajah cantik, berebut orang kampung nakkan mak, tapi mak 'bo-layan'. Kata Mak, Mak Wo cukup marah dengan dia....

Atuk ada ramai pekerja, antaranya Bapak. Bapak ni anak kepada Mbah Lanang dan Mbah Wedok. Kedua2 Mbah pendatang dari Jawa. Mereka kawin kat sini, dan dapat 8 orang anak. Bapak pun anak keempat dari lapan beradik.

Bapak kecik je orangnya. Kurus dan hitam legam dan miskin. Bapak kerja sebagai kuli Atuk kat kebun getah Atuk. Entah macammana, Mak berkenan kat Bapak. Bapak bujang, mak janda, mereka akhirnya berkahwin masa umur Mak 17 tahun tanpa restu Mak Wo. Atuk dengan Mbah Lanang kawan baik, jadi Atuk sayang kat Bapak. Cuma Mak Wo tak suka Bapak sebab Bapak orang miskin.

Lepas Mak kawin dengan Bapak, Mak menjalani hidup sebagai orang miskin. Bapak dapat kerja jadi drebar lori dengan orang putih, mak pulak dok lahirkan anak satu demi satu sampai sepuluh....

Kami membesar dalam kepayahan. Bapak kerja dengan kerajaan sebagai DSP - Drebar Sampai Pencen. Rumah kami dekat dengan rumah Mbah. Hari2 aku bertapa kat umah Mbah, sebab Mbah baik dan sayang kami. Mak Wo pulak sebaliknya. Kami2 ni bagaikan cucu tiri dia. Selalunya kami cuma dapat makan 'belen2' masa kenduri. Aku yang selalu dapat No 1 dalam kelas paling banyak pun dapat hadiah dari dia 50 sen...sedangkan sepupu2ku walaupun dapat no 5, dia bagi RM10....

Emak yang dah biasa senang, hidup dalam kepayahan dengan bapak membesarkan sepuluh anak. Hari2 kami makan 'recycled' food - contohnya, Bapak akan bawa balik roti2 yang dah keras dari dewan makan. Mak akan kukus roti2 ni... jadi lembut dan jadi sarapan pagi kami. Bapak jugak rajin bawak balik lauk yang tak habis, mak akan cuci ayam, telor atau daging2 tu, kemudian dia goreng letak macam2 rempah ataupun dia sambalkan atau kicapkan. Kami membesar dengan makan pelbagai jenis makanan yang berasaskan inovasi Mak....

Mak jugak rajin bercucuk tanam. Segala yang ditanamnya akan menghasilkan buah yang gemuk dan besar. Cili2 mak besar2. Buah betik yang Mak tanam manis dan besar. Buah sukun, nangka, rambutan, cempedak, jambu...semuanya manis2 dan besar2.... Ayam2 mak ada beratus ekor. Yang kelakarnya, ayam2 mak dengar kata... Disuruh masuk reban, semua masuk.... Setiap pagi mak akan kutip telor2 ayam. Berpuluh2 biji...dan adalah menjadi rutinku untuk menjual telor2 ni di kedai Arwah Cik Hairi.

Musim cuti sekolah, kami akan tolong mak kat kebun. Motong getah. Lepas tu aku paling suka ikut mak pegi jual getah kat 'Timbangan'. Mak akan dapat duit dan aku akan dapat duit belanja!!!! Ye..20 sen pun aku dah jadi kaya!

Mak asyik kerja je. Semua yang dia tanam akan dijadikan duit untuk besarkan kami. Dia suka masak, dan masakan dia sedap. Paling aku suka, kalau dia goreng ayam, masak sayur lemak putih, goreng tempe dengan sambal belacan. Ayam goreng mak lembut je... Sampai ni tak de sapa boleh lawan ayam goreng mak...

Kami semua diajar buat karipap. Kata mak, tak reti buat karipap tak boleh kawin. Aku tau gak camana nak buat rempeyek, kuih talam dan banyak lagi kuih yang aku sememangnya tak rajin nak buat sekarang....

Banyak lagi kebijaksanaan mak yang aku tak reti nak cerita camana. Mak hebat orangnya. Dia the best...

Tahun 1996, 12 Disember, Bapak pergi. Mak mengadap dia. Lepas tu Mak jadi sedih sangat2. Hari2 dia nangis ingatkan Bapak. Kadang2 dia masakkan bubur untuk Bapak, walhal Bapak dah tak ada... Mak tak ingat kat orang lain selain Bapak... Empat bulan lepas tu, Mak koma disebabkan darah tinggi. 16 Jun 1997, Mak pergi.... aku nangis macam orang gila bila hilang mak.... Sudahnya, sampai sekarang aku tak boleh nangis... Mak bawak segala kekuatan dan semangat aku bersama...

Mak, anak Mak ni rindukan Mak....

Aku doakan semoga Allah cucuri rahmat buat Atuk, Mak Wo, Mbah Lanang, Mbah Wedok, Bapak dan Mak yang aku sayang....

Thursday, May 6, 2010

Kesalan

Iklan di TV menunjukkan kisah peragut yang menyebabkan seorang gadis kehilangan beg tangan; dan cukup sedih kerana gadis itu hanya ada RM4 terakhirnya....

Kemudian si peragut ini membawa ibunya ke pasar. Sedang si ibu berjalan, ada motor lain cuba memintas si ibu dan cuba meragut beg yang digalasnya. Akibatnya, si ibu terjatuh lalu dilanggar kereta dan mati di tempat kejadian.

Peragut tadi meraung kekesalan. Di tangan ibunya, ada RM4 yang dicuri dari gadis tadi...

Iklan. Lakunan.

Itu kenyataan. Saya terkedu bila saya dianggap masih berdendam dengan apa yang pernah terjadi dalam hidup saya satu waktu dahulu. Sedangkan, saya hanya bergurau.

Tiada kesalan dalam hidup ini sebenarnya. Saya sukakan keindahan hidup saya yang penuh warna-warni. Saya puas dapat melaksanakan tanggungjawab saya sebagai hamba Allah dan umat Muhammad dengan segala yang terdaya. Namun saya sedar saya banyak bergurau dan bermain.

Tiba masanya saya serius dengan diri saya. Maaf kawan, aku akan kembali menjadi diriku yang tidak lagi tersenyum.....Jika itu yang terbaik buatku.

Perasaan...

Pelbagai peristiwa berlaku. Saya di India, bertemu dengan ramai kawan2, melaksanakan tugasan terakhir dan berbincang untuk tugasan baru. Tiba2 mendapat berita Abang Cimi kemalangan jalanraya. Kakinya patah. Perlu dibedah segera dan aduuuhhhh... berhenti seketika degupan jantung saya...

Alhamdulillah dia selamat. Saya pulang awal ke tanahair. Saya terus berada di sisinya, seboleh mungkin, siang dan malam. Aunty dan Ummi kesayangannya juga datang dari jauh - kota Singa - untuk bersamanya.

Pertama kali mereka bersolat di Masjid Negeri yang menggamit perasaan sayu dan pilu... Saya terkedu melihat airmata mereka berlinangan.... Saya teruja melihat keluarga datang menziarah Abang Cimi tanpa henti. Sahabat2 baiknya datang dari dekat dan jauh....

Saya juga mendapat peluang duduk bersembang dengan sahabat lama - TaiChee, Lajentos, Utherk dan Jijah - di sepanjang 'percutian' ini. Banyak yang dipelajari. Banyak yang diketahui.... Hilang sudah kemurkaan di hati... Ramai yang mengagumi....Rupanya!

Begitu banyak rasa di sepanjang 2 minggu ini.... Tuhan mengetahui apa yang paling baik buat hambaNya ini....

Saturday, April 24, 2010

Forgive me

Wahai Tuhan
ku tak mampu ke syurgaMu...
************************************************************

Andai saja apa yang ku tuturkan tadi menyinggung hatimu,
Maafkan aku.

Aku lakukan ini semua kerana kasih dan sayangku padamu
Aku amat menyayangimu
Dengan segala yang ku punya.

Telah sekian lama ku pendam lara di hati ini
Sendiri
Tidak pernah ku luahkan biarpun sepatah kata
kerana aku tidak mahu ia melukakan

Ku pinta kau tabah menghadapi dugaan Allah ini
Dengan penuh keikhlasan
dan keredhaan

Kata-kataku bukan untuk melukakanmu
Jangan berprasangka padaku
Aku amat menyayangimu
Dan kau tahu itu.

Maafkan diriku.
Tuhan...perkenankan doa-doaku
hanya Kau yang mampu
kerana Kau yang mencipta

Berikan ku syurgaMu
Berikan ku kasih sayangMu.

Friday, April 23, 2010

Ilmu yang diamalkan

Boss saya sedang mencari nota tentang amalan2 yang perlu dilakukan - yang dikongsikan oleh seorang sahabat. Saya kebingungan kerana saya memang tidak ada idea di mana dia letakkan buku notanya itu.

Malam tadi saya bersembang dengan kawan lama. Dia bercerita dan bercerita. Saya hanya mendengar dan mengiyakan. Dia minta pendapat saya dan saya berikan kepadanya apa yang dia mahu. Saya kongsikan dengannya apa yang perlu dia lakukan unuk mengatasi masalahnya.

Saya duduk makan tengahari dengan seorang teman lama semalam. Dia usahawan berbangsa Cina yang berjaya daan cukup rajin. Saya kagum dengan keupayaannya. Seorang anak muda berwawasan yang tidak menjadikan bangsa dan agama sebagai sempadan persahabatan. Baginya saya adalah seorang yang sering mendorongnya untuk maju ke hadapan. Dan, tiba masanya untuk dia bersama saya menghadapi realiti kehidupan ini bersama.

Minggu lepas, saya diundang menjadi panel forum di UNISEL. Saya bercakap tentang Financial Reporting Standard. Satu bidang yang amat saya minati dan di hadapan saya waktu itu ada hampir 500 audien. Saya berdoa semoga apa yang saya sampaikan menjadi amalan baik mereka.

Bulan lalu saya diundang memberi ceramah tentang Personal Branding dan Mind Setting kepada bakal2 peguam. Saya berbesar hati kerana mereka mahu mendengar celoteh saya yang tidak seberapa.

Saya teruja setiap kali ada yang menghubungi saya untuk meminta pendapat dan nasihat tentang impian dan harapan mereka. Hati saya selalu besar jika mereka meminta bantuan saya, dalam bidang yang menjadi kesukaan saya ataupun kepakaran saya.

Saya tidak punya wang untuk disumbangkan. Saya selalu berdoa dan berharap Tuhan mengurniakan kekayaan kepada saya supaya saya boleh mengkayakan orang lain. Itu impian saya. Tapi saya juga pasti bahawasanya ilmu yang diajarkan dan diamalkan oleh orang lain adalah saham akhirat saya. Guru2 yang mengajar pastinya manusia yang paling bertuah kerana mereka sentiasa menanam saham akhirat. Saya tidak berpeluang menanam saham seperti para guru.

Makanya, berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada adalah satu dari tinggalan saya di dunia ini - Ilmu yang diamalkan.

Thursday, April 22, 2010

Langkah pertama

Hari ini, saya dan Boss ke pejabat Principal untuk menandatangani perjanjian. Syarikat kami di India telah dilantik menjadi 'reseller' kepada produk ini bagi India dan Arab Saudi. Alhamdulillah.

Kami bersyukur di atas nikmat dan rezeki yang Allah beri kepada kami. Semuanya ini datang dari Dia.

Bermula hari ini, kami berdua dan dua lagi sahabat telah memulakan langkah pertama dalam perniagaan global kami. Mudah-mudahan Tuhan memberi kami rezeki yang berlipat kali ganda di hari-hari mendatang.

Saya juga mendapat kunjungan email sahabat yang menghulurkan cadangan.... Saya akan meneliti kertas cadangan dan memikirkan strategi yang perlu diambil.

Perjalanan saya baru bermula. Perjalanan yang akan menukar status seorang pekerja kepada seorang ahli perniagaan. Permudahkan Ya Allah...

Tuesday, April 20, 2010

Dah lain?

Dalam masa bercuti ini, saya sempat bertemu beberapa teman yang lama tidak dihubungi. Maklum saja kehidupan sibuk yang saya jalani sejak setahun lalu menjarakkan saya dengan ramai orang.

Saya bertemu dengan Roslan, yang hampir 30 tahun tidak bertemu.

"Assalamualaikum. Ini Myra kan? Hang masih cantik cam dulu gak...".

Saya terpaku. Siapakah dia?

"Roslanlah..." Dia menjawab tanpa ditanya.

Sambil memohon maaf kerana saya lupa langsung wajahnya, kami terus rancak berbual.

Di akhir pertemuan, dia berkata:

"Hang dah lain sekarang ni. Aku tengok gaya hang ni cam orang kaya je. Tapi, bila aku sembang dengan hang, aku rasa hang ni humble, simple dan kuat semangat. Hang betol2 dah lain sekarang ni, Myra..."

Saya pandang wajahnya dan bertanya:

"Aku dulu camana?"

Sambil tergelak dia menjawab:

"Hang dulu? Manja, nampak hang bergantung kat orang, tak suka susah, memilih.... dan yang paling aku ingat, hang cukup pandai buat hati orang cair dengan suara hang..."

Berpinar kepala saya! Fuh!!!! Buruknya perangaiku!!!!

Monday, April 19, 2010

Bebas

Burung2 menyanyi riang...mentari menyuakan wajah di balik awan mendung... cuaca nan redup menyejukkan suasana.... hatiku? Lega. Tiada bebanan yang perlu ku tanggung lagi.

Ye....perjalanan semakin sukar di hadapan. Itu sudah pasti. Namun, kejayaan besar juga menanti di hadapan. Setelah sekian lama menghambakan diri dengan orang lain, kali ini, aku akan berjuang demi diri sendiri.

Bagaimana perasaanku? Bercampur baur. Segala kesulitan yang mungkin berlaku telah berlaku. Satu demi satu ku harungi dalam kepayahan. Namun, aku cuba membuang segala rasa kecewa yang bersarang.

Kata2 azimat Guruku sentiasa di telinga "Auliya does not have disappointments". Aku tidak boleh kecewa. Segala keputusan yang ku ambil adalah dengan petunjuk dariNya. Makanya, hasil dari keputusan itu tidak seharusnya ku kesalkan. Pasti ada kebaikan dari setiap kesukaran.

Perjalanan masih jauh. Harapan menggunung. Impian memuncak.

Satu yang pasti, jiwaku tenang. Otakku bebas. Fikiranku lepas....

Aku tahu aku akan berjaya mengharungi kehidupan yang sukar ini dengan penuh warna-warni!

Saturday, April 17, 2010

Kenapa ye?

"Betul kak....mati-mati saya ingat dia sembang dengan suami dia, sebab kejap2 dia call atau talipon dia berbunyi. Saya admire sungguh kat suami dia...Rupanya...suami orang".

Bersungguh-sungguh Rina bercerita tentang seseorang yang kami kenali ini.

"Siapa lelaki tu?", menyibuk saya nak tahu...sambil mata memandang ke jalanraya yang bengkang bengkuk di hadapan. Lori banyak dan laju-laju belaka. Takut juga jika terleka.

"Boyfriend lama dia... Zaman dia study kat overseas dulu. Katanya jumpa kat facebook!".

"Ohhhh..." jawab saya perlahan.

Banyak sudah yang didengar tentang 'pertemuan semula' cinta lama di ruangan facebook. Saya hairan bagaimana hati dan perasaan boleh terusik dengan kenangan lama. Apatah lagi jika kenangan itu berlaku sewaktu di bangku sekolah.

Apa yang boleh dipegang tatkala kita berusia belasan tahun? Dengan pendirian yang tidak tetap dan fikiran dipenuhi dengan perasaan dan nafsu, tentu sekali ia sesuatu yang tidak sesuai digunapakai lagi.

Bersahabat semula di dalam fb tidak salah. Menyimpul dan menyulam kenangan2 baru yang dibina atas memori silam adalah satu kesalahan. Apa salahnya jika persahabatan itu tulus dan lurus, tanpa perasaan?

Entahlah...mungkin saya tidak merasa apa yang orang lain rasa. Mungkin kerana saya temui kebahagiaan dalam kehidupan sekarang makanya saya tidak perlu mencari kebahagiaan di tempat lain, bersama orang lain. Mungkin juga mereka yang menyambung kembali kenangan lama terpisah dulunya kerana orang tua atau situasi... Mungkin juga pada waktu itu hati dan mata mereka kelabu...

Tapi...kenapa lupa dengan anak2 yang mengharap kehadiran mak dan ayah dalam hidup mereka? Bagaimana boleh dilupakan kasih dan sayang suami/isteri yang begitu setia menemani dalam susah dan senang?

Saya tidak punya jawapannya...Saya harap dia yang dimaksudkan Rina sedar bahawa dia telah melukakan hati suaminya dan isteri kepada kekasihnya... juga anak2 mereka... dan kawan2 dan keluarga yang menyayangi...

Friday, April 16, 2010

Akhirnya...

Saya melihat airmata bergenang di matanya, dan sejurus itu juga dia memeluk bahu saya. Ucapan terimakasih yang dibisikkan ke telinga saya menyayat hati saya. Saya juga sedih, kerana saya harus mengucapkan selamat tinggal. Dua tahun yang penuh dengan sejarah dalam hidup saya...

Semalam saya mengakhiri perjuangan saya di tempat kerja saya... Sebuah syarikat yang penuh dengan peluang dan keupayaan, namun ianya juga dipenuhi dengan permainan politik dan hipokrit yang calang2 orang, payah nak menghadapinya.

Saya memiliki kedudukan selesa di sana. Jawatan tinggi, kuasa mutlak dan dikenali ramai. Semuanya nampak indah, hakikatnya, saya makan hati. Saya tidak tahu cara mana harus saya mainkan untuk mengelak dari permainan politik kotor sesetengah manusia yang penuh dengan azam untuk memiliki kuasa.

Pada mulanya semuanya mudah untuk saya. Ada shield yang sentiasa berada di depan saya. Dia abang, teman, boss, saudara...yang percaya dan yakin dengan keupayaan saya. Hubungan saya dengannya hangat diperkatakan; bermula dari kata2 manusia yang cemburu. Lalu satu demi satu perlakuan saya diperhatikan. Selepas dia pergi meninggalkan syarikat, hidup saya di sana makin terhimpit. Saya dihentam dari setiap sudut, oleh dua orang manusia palsu yang cukup marah dengan kejayaan demi kejayaan yang saya capai.

Syukurlah... akhirnya si dia yang cukup percaya dengan fitnah2 yang dilemparkan pada mulanya terhadap saya, sedar bahawa dia tersilap. Tuhan bukakan hatinya untuk mengaku bahawa saya adalah seorang manusia yang cukup takut dengan balasan Allah. Saya hanya melakukan yang terbaik, sekadar yang saya mampu, dalam menjalankan usaha saya. Segala yang saya lakukan adalah dengan petunjuk Allah, kerana itu yang saya panjatkan setiap masa.

Saya keluar dengan dignity. Dengan persahabatan. Dengan doa dan harapan.

Mudah2an perjalanan saya selepas ini dipermudahkan. Amin.

Monday, April 12, 2010

Peluang

Kalau diikutkan, dia tidak berpeluang menyertai tournament ragbi MSSS tahun ini kerana tulang bahunya patah Januari lalu dan dinasihatkan supaya berehat selama sebulan.

Takdir Tuhan, tournament ragbi MSSS ditunda dari bulan Februari-Mac ke April. Seronok sakan dia kerana dapat turut serta dalam permainan yang amat digemarinya. Setiap petang dia turun berlatih, tanpa jemu dan penuh dedikasi. Setiap Sabtu dia menyertai perlawanan, dan pulang dengan kejayaan demi kejayaan.

Semalam, dia memaklumkan yang bootnya koyak dan perlu yang baru. Dengan 'sedih', saya bawa dia ke kedai sukan. Saya beritahu dia tentang peluang yang Tuhan beri padanya. Saya mahu dia rebut tempat untuk mewakili daerah untuk peringkat negeri nanti. Saya kupas satu persatu turutan peristiwa - betapa dia diberi kemudahan untuk memperolehi kejayaan: yang perlu dia lakukan adalah - ambil peluang.

Sebagai manusia, kita sering alpa tentang peluang yang datang. Kita tidak pernah mahu menggunakan 'analytical mind' yang Tuhan kurniakan kepada kita untuk mengkaji kejadian yang berlaku. Kita tidak nampak peluang di depan mata. Kita tidak endahkan peluang yang selalunya hanya datang sekali seumur hidup...

Sunday, April 11, 2010

Perasaan

Sedih pun ada.

Kehilangan pun ye.

Kerisauan datang dan pergi.

Gembira banyak sekali.

Kelegaan menguasai.

Adakah semua ini positif?

Hanya Tuhan yang mengetahui.

Dia demam

Pukul 4 pagi dia menangis. Ingatkan dia mimpi; rupanya dia nak muntah.

Setiap 20-30 minit dia merengek; dan bangun muntah.

Agaknya lebih 7 kali dia bangun muntah.

Pagi pun dia muntah.

Tengahari badan dia panas.

Katanya pening. Sakit perut.

Asyik merengek dan menangis.

Alahai si manja... tau saja dia bila nak sakit...

Bila Mama ada....

Allah perancang terbaik!

Thursday, April 8, 2010

Buy Back

Saya sedang membeli kembali masa2 yang hilang...

Saya sedang membayar harga momen2 yang diambil dari saya...

Saya sedang mengumpul sisa2 usia yang tertinggal...

Untuk bersama mereka.

Maafkan Mama.

Semua ini adalah pengorbanan.

Mudah-mudahan Allah mudahkan kehidupan kita di masa akan datang.

Saturday, April 3, 2010

Keputusan

Akhirnya, saya membuat satu lagi keputusan besar dalam hidup saya. Saya akan mengakhiri episod bekerja dengan syarikat sekarang dan melakukan sesuatu yang lebih baik, Insyaallah.

Episod baru dalam kehidupan saya bermula beberapa bulan lalu. Saya mendapat panggilan dari Singapura. Ada yang memerhati saya dari jauh rupanya. Saya dilamar secara rasmi pada awal Januari bilamana dia sendiri ke Kuala Lumpur dan meminta persetujuan saya.

Saya teruja, dan agak keliru untuk membuat keputusan. Saya kongsikan apa yang berlaku dengan Maulana Bahaudin dan Maulana Jeelani yang kebetulan berada di India. Mereka menasihatkan saya untuk berdoa dan beristikharah. Yang paling mengesankan saya ialah bila ditanya "What does your heart says?".

Selepas beberapa ketika, saya cukup yakin dengan keputusan yang saya ambil, tetapi saya 'membeli' sedikit waktu untuk menunaikan janji kepada seorang sahabat. Dalam masa sama, saya berpeluang ke Mumbai menghadiri sebuah konferen. Di sanalah hati saya membulat. Saya akur dengan keadaan yang tidak menyebelahi saya di kedudukan sekarang, dan lebih baik saya segera memutuskan untuk menamatkan episod ini.

Saya ke Singapura selepas pulang dari Mumbai, dan saya ke Chennai sebaik kembali dari Singapura. Di Chennai, saya selesaikan perkara2 berbangkit, dan saya akhiri perjuangan saya di sini dengan satu kejayaan; biarpun tiada pengiktirafan, namun saya redha semua itu adalah ketentuan Yang Maha Esa.

Bermula Mei ini, saya akan ke industri yang baru. Saya akan bekerja bukan hanya sebagai pekerja, namun sebagai salah seorang 'empunya'. Syukur ke hadrat Illahi yang memberi rezeki sebegini besar kepada saya dan keluarga.

Saya juga mendapat khabar gembira bilamana syarikat persendirian yang saya tubuhkan di India mendapat suntikan modal dari seorang 'pembesar' di sana - hadiah buat pengorbanan saya. Mudah2an segala usaha ini mendapat keberkatan Allah sentiasa.

Saya amat memegang firman Allah ini - "Maka Allah sebaik2 yang memelihara dan Dia lebih penyayang dari segala yang penyayang." Surah Yusuf ayat 64.

Saturday, March 6, 2010

Bro Taichi

Kenangan sewaktu di sekolah menengah menjengah ketika saya menerima ajakan seorang bernama BroTaichi menjadi rakannya dalam fb. Sehari sebelum itu, saya disapa seseorang yang mengenalkan diri sebagai Rano di fb juga.

Puaslah fikir... Rano? Taichi?

Lepas dok tatap wajah2 mereka, dan lama berfikir, barulah perasan yang Rano adalah senior saya dan taichi sekelas dengan saya. Saya ingat lagi dia duduk depan saya: dia sebelah Sekak (arwah) dan saya sebelah Itit. belakang saya Dading dengan Muji, belakang Muji Chipan dengan Rajen. Depan sekali Ani Guntur dengan Jijah....

Hahaha... kenangan manis menjelma kembali. Di sekolah saya itu, Sek Men Teknik Kuala Lumpur, tiada siapa kenal kita dengan nama sebenar. Kami semua ada nama TI. Entah apa2... Taichi postkan gambar kelas kami yang ada dalam majalah sekolah, dan dia tulis nama kami semua... Terharu melihat kembali kawan2 yang telah lama terpisah. Bagaimana wajah mereka, di mana mereka...

Ketua kelas kami, Man Danger. Ada Sutaji, ada Enon (dia lelaki), ada Rajesh, ada Adim, ada Steng, ada Sharojini (lelaki juga), ada Are Chick de Golok, ada Phony... dengar cerita Taichi, kesemua teman2 telahpun berjaya dalam kerjaya masing2. Architect, Engineers, lecturers, teachers, contractor... ada yang jadi Director. Alhamdulillah.

Paling saya tak boleh lupa, panggilan kepada guru2. Guru kelas kami adalah juga Guru Fizik, dia jalan tegak je. Kami panggil dia Momentum. Guru Kimia kami panggil Mak Chan, guru Penolong Kanan kami panggil Manap....saya dah lupa nama beliau apa.

Di sekolah ini, saya menjadi pelajar yang amat dikenali. Bukan kerana pandai dan cantik, tapi kerana tidak digemari oleh senior perempuan dan dimusuhi oleh pelajar lelaki yang satu batch dengan saya... Sebabnya, saya menjadi gilaan senior lelaki! Hahaha...

Terkenang macammana sabarnya Rano menanti saya di luar kelas setiap hari (dia menggunakan kuasanya sebagai Pengawas untuk keluar awal), semata2 kerana mahu 'mengiringi' saya turun tangga dan balik ke asrama...

Juga 'Abang Zaidi' yang sentiasa menanti saya melintas di sebelah kelasnya untuk ke tandar pelajar perempuan... Teringat bagaimana seluruh blok asrama lelaki seniors bergema dengan jeritan nama saya... tatkala saya melintas untuk ke Bus Stop... dan terkenang indahnya suasana diiringi 'abang-abang' Kelang yang membawa kami semua menaiki bas Tong Foong sampai ke Bangunan Cahaya Suria dan berjalan melalui Petaling Street menuju ke Bus Stand Klang...Biarpun mereka nakal dan ganas, tetapi mereka amat menjaga kami, yang berasal dari Kelang.

Sesekali teringat wajah Bro Allen yang sentiasa sabar dengan kerenah saya yang mengada. Ayah angkat saya, Ustaz (lupa nama), ada ramai anak2 angkat - Kak Zie, Gonang, Uncup, Zamil, Jemberk... Entah apa2 nama diaorang ni ada!

Paling saya tidak akan lupa, Steng, (singkatan dari Setengah), yang membantu menyiapkan projek Amalan Bengkel Kejuruteraan saya (buat hammer dari besi padu). Kalau dia tak tolong, gerenti projek saya tak siap. Habis semua budak perempuan boikot saya... kononnya saya 'seduced' Steng menggunakan cara kotor! Steng, jasamu dikenang hingga ke akhir hayat. Dia sahabat yang baik...Dengar khabar dia dah jadi tokey rangkaian restoran.

Saya ingat lagi seorang pelajar ni, Uterk, paling popular kerana sentiasa menjadi pilihan Manap untuk menjadi bahan bedalan rotannya... entah di mana dia kini. Dah tua, jadi bapak orang... kalaulah anak2nya senakal dia...

Saya punya sahabat2 karib - Chipan, Ardeem dan Dading. Tidak lupa Mezzi de Krodi, dan junior2 yang sayangkan saya - Azlina, Ruzitah, Ruhana.

Di sekolah itu saya membesar, dihina, dipulau, digilai, dibenci, disayangi, difitnah, dicintai... Saya berterimakasih kerana di sana saya mendapat kekuatan untuk mengharungi kehidupan, biarpun ketika itu saya amat membenci segala2nya. Selepas 30 tahun, saya mengaku, saya mendapat kekuatan hasil dari kehidupan yang sukar itu...

Tergelak bila Taichi tanya "Kenapa ko tak kawin dengan xxxx." Ramai sungguh yang tanya soalan cepumas tersebut. hahaha... Cinta Monyet, macam monyet gak lah... Dok terlompat2 je!

Anak jati Kelang, CHOKYAH.

Friday, February 26, 2010

Rajukku yang panjang...

Maulana Bahaudin ada memberitahu saya, "Auliya never feel disappointed.."

Jauhnya saya dari para Auliya.

Saya rasa tersisih. Dari orang2 yang saya sayang.

Sebab...macam2 yang terjadi. Dan, saya mula rasa kecewa. Yang teramat.

Lalu, saya cari kekuatan diri. Saya katakan pada diri, "Inilah yang perlu dilakukan. Redha dengan apa yang terjadi, kerana ini yang terbaik buat saya masa ini."

Maha Suci Engkau Ya Allah. Engkaulah Penguasa sekelian alam dan segala isinya. Engkaulah sebaik-baik pengatur dan perancang. Aku hanya hambaMu yang lemah, yang sering kalah dengan perasaan. Berikan aku kekuatan. Berikan aku keberkatan. Berikan aku kasih sayangMu Ya Allah.

Dugaan ini yang terhebat buatku. Kekecewaan ini yang paling berat pernah aku rasai. Ampunkan aku Ya Allah kerana seringkali lupa dengan kasih sayangMu. Inikah balasan atas kealpaanku padaMu? Jika ia, aku terima dengan sepenuh hati. Jika bukan, aku redha kerana ia bahagianku. Aku hanyalah hambaMu yang lemah, hina dan miskin. Kuatkanlah aku, muliakanlah aku dan kayakanlah aku Ya Allah.


Saya berdoa semoga rajuk saya akan berakhir...kerana saya rasa buruk kalau orang tua merajuk...

Sunday, February 21, 2010

Apakah maksudnya?

Malam tadi, saya bermimpi. Mimpi yang dahsyat sekali.

Saya sempat menghabiskan surah Hud sebelum Abo mengajak saya ke atas. Saya terus tidur sebaik saya baringkan badan.

Saya terasa suami baring di sebelah selepas beberapa ketika. Namun, mata seolah digam.

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu perasaan. Saya rasa bukan dia di sebelah saya. Saya terduduk dan melihat wajahnya rapat2. Ya Allah. Itu memang dia. Apa yang mengganggu saya?

Saya kembali tidur selepas membaca ayat Kursi.

Tidak lama kemudian, saya terdengar suami cuba menjerit. Allah hu akbar. Allah hu akbar. Allah hu akbar.

Sebutannya pelat. SUaranya menggigil.

Saya genggam tangannya dan dia balas dengan genggaman yang amat kuat.

Saya baca lagi ayat Kursi, kali ini di telinganya.

Kemudiannya saya bermimpi. Saya sedang berada di dalam rumah bila saya terlihat ada orang datang. Seorang perempuan yang saya rasa saya kenali, tapi saya tidak dapat mengingat wajahnya. Dia begitu sibuk menggali lubang di halaman rumah saya. Dia duduk bertinggung. Saya panggil kakak ipar saya, Kak Gee, yang berada di dalam. Kak Gee beristighfar berkali2.

Perempuan tadi terus-terus menggali dengan kedua tangannya tanpa peduli akan kehadiran kami yang memerhati. Kemudiannya saya nampak dia mencapai sesuatu dari dalam lubang tadi dan menelannya dengan lahap. Tanah dan selut bersemuih di mulutnya.

Kemudian dia beredar dengan laju dari rumah saya. Dia tidak berjalan, tetapi mengesot. Saya takut, Kak Gee asyik beristighfar dan membaca ayat Kursi.

Saya terjaga. Saya ambil wudhuk dan solat 2 rakaat. Kemudian, saya baring kembali. Mata saya terbuka luas. Tidak boleh tidur. Jam baru pukul 4.

Saya sambung solat lagi. AKhirnya saya terlelap di atas sejadah...

Saya bangun bila terdengar azan subuh. Selepas solat, saya bangunkan suami. Lepas dia selesai solat, saya tanya kenapa dia mengigau.

Katanya, "Ada perempuan datang dan paksa Abang ambil sesuatu dari dia / or dia nak ambik sesuatu dari Abang. Abang tak nak, tapi dia paksa. Bila Abang jerit Allah hu akbar, dia menjauh, pastu dia datang rapat lagi: sampailah ada orang tarik Abang dari situ."

Saya ceritakan apa yang saya mimpikan dan apa yang saya rasakan sebelum dia mengigau.

Kami berpandangan. Tidak faham maksud yang tersirat. Teringat kata-kata Ustaz Ariffin sewaktu suami saya berubat 3 tahun lalu.

"Orang yang menghantar sihir ini akan telan balik apa yang dia hantar kat kamu. Kamu akan bermimpi melihat wajah dia walaupun kamu tidak mahu tahu siapa dia. Dia seseorang yang kamu kenal, agak rapat."

Apakah yang muncul malam tadi adalah 'dia', yang menelan kembali apa yang 'dihantar' kepada kami sekeluarga hingga suami saya sakit teruk sepanjang 2006/07 dulu? Wallahualam. Hanya Dia yang mengetahui. Apapun, kami redha dan bersyukur kerana segalanya telah berlalu. Biarlah si dia menjawab kepada Yang Maha Esa. Kami tidak perlu tahu siapa dirinya, kerana kami tidak bermusuh dengan sesiapa.

Monday, February 15, 2010

Teman

Berjauhan dari keluarga amat memeritkan. Kehidupan di India, biarpun zahirnya indah, sebenarnya terlalu sukar buat saya: seorang isteri dan seorang ibu. Apa yang saya inginkan terjadi setiap hari? Buka mata dan melihat wajah suami di sebelah. Melihat dia membuka mata, kemudian tersenyum ke arah saya, sambil melayangkan ciuman ringkas... amat saya nantikan.

Selepas solat subuh, saya akan mengetuk pintu bilik anak2, mengejutkan mereka untuk solat dan kembali ke bilik selepas mereka keluar dari bilik air dengan wudhu'. Kali ini giliran si ayah pula untuk digerakkan. Tarik jari, tak bangun. Urut kaki, hanya menggeliat. Letak tangan di pipi, dia tersenyum... akhirnya, dia hanya akan bangun selepas saya tarik kedua2 tangannya...

Saya akan sibuk di dapur menyiapkan sarapan, dan satu demi satu muncul di dapur sambil mengusik saya. Ada yang cium, ada yang salam, ada yang hanya tersenyum.... Lala, dengan muncung tajam dan suara mengada-ngada, akan cuba menarik perhatian saya dengan "akak sakit peruuutttt..." atau "akak peniiiingggg" atau "akak ngantuuuukkkk"... Mimie dengan penuh semangat akan menceritakan rancangannya hari itu dengan lengkap. Abey akan hanya tersenyum, sambil kata, "Mama masak apa?". Akhir sekali, Papa akan turun dan memeluk saya dari belakang sedang saya sibuk menyiapkan sajian, sambil menyorokkan wajahnya... Si kenit Abo akan mula membuat riuh dengan keletahnya, tidak mahu mandi, tidak mahu gosok gigi, berlari keliling rumah sambil dikejar oleh Bibik... dan akhirnya akan memeluk kaki saya dan menangis. Selepas diangkat, dicium dan digomol, dia akan ketawa dan meronta minta dilepaskan.

Kami akan makan bersama, sambil masing2 cuba memberitahu apa yang telah mereka lakukan dan akan mereka lakukan hari itu. Selesai sarapan, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton TV, rancangan katun Abo, yang telah beribu kali kami tonton bersama, dan beribu kali juga kami kata, "tak de ke cerita lain Bo?"....

Jika tiada apa-apa aktiviti, kami akan masuk ke dalam kereta dan Papa akan membawa kami ke kedai motor... hampir kesemua kedai motor besar telah kami lawati: bukan sekali, berpuluh kali. Abey dan Jimie tidak akan jemu untuk bergaya di atas motor, Lala dengan gediknya akan kata, "Ma...cantik tak akak atas motor ni?" dan kami semua akan ketawa melihat dia terkial2 cuba menjejakkan kakinya di atas lantai....

Selalunya, kami akan menikmati makan tengahari di kedai makan, warung, KFC, McD atau mungkin ke KLCC... berjalan tanpa tujuan. Pasti tidak terkecuali Kinokuniya, masing2 akan tenggelam dalam buku-buku.... Sesekali kami akan ke rumah Acik untuk melepak, atau ke Tasik Titiwangsa. Lala dan Jimie dibesarkan di KL, dan mereka ada banyak memori di Tasik Titiwangsa. Tiap kali ke sana, mereka akan lakonkan kembali apa yang mereka lakukan dulu... Masjid Kg Baru menjadi kegemaran kami untuk bersolat, paling tidak kami lupakan bihun sup utara yang terletak berhampiran...

Selepas penat seharian, kami akan pulang dengan hati yang puas. Tidak sampai 5 minit dalam kereta, kesemua mereka akan terlentok kepenatan. Macam2 aksi kelihatan. Lala dan Abo di kerusi belakang, Jimie dan Abey di barisan tengah. Kadang2 mereka bergaduh disebabkan si Kenit suka cari pasal...Hanya kami berdua yang akan berjaga, dan selalunya dia akan genggam tangan saya sepanjang perjalanan sambil sebelah lagi tangannya berada di stereng. Selalunya bila sampai di rumah, Lala akan teruskan aktiviti tidornya di kerusi panjang, Jimie akan keluar mencari kawan2 sementara Abey akan ke padang bermain bola. Abo pula akan mula memerintah Tini menemaninya ke padang atau ke rumah Abdullah, paling tidakpun ke rumah Umairah untuk bermain.

Saya rindukan semua itu. Saya bermimpi yang mereka ada di sekeliling saya ketika ini. Malang sekali saya telah kehilangan 'touch' yang begitu ringkas namun amat signifikan (meminjam ayat Prof MKI) dalam sebuah kehidupan.

Di sini, saya tercari-cari teman. Selepas setahun, saya telah temui teman sejati ketika bersendirian. Al-Quran, solat2 malam dan puasa sunat. Tumpuan saya kini tidak lagi kepada melayan kesunyian, kerana saya telah pun berteman..... Maha Suci Allah.

Friday, February 12, 2010

Perasaan

Hancur. Luluh. Sedih. Kecewa.

Saya berada jauh darinya. Saya rindukan dia setiap ketika. Saya impikan dia sepanjang malam. Saya mengharap melihat wajahnya ketika saya buka mata dari tidur yang lena....

Saya hubungi dia. Hanya untuk mendengar suaranya. Ingin mengubat rindu.

Entah mengapa dia naikkan suaranya. Hati saya cukup terluka.

Airmata terus mengalir deras. Tidak mampu saya bendung. Tidak mampu saya tahan.

Begitu sekali perasaan saya. Terluka dan tersentuh. Teramat sangat.

Sabarlah hati... Dia sendiri sedang terluka agaknya.... Sabarlah. Perpisahan ini amat menyakitkan. Bukan untuk saya saja, lebih lagi untuk dia....

Airmata... janganlah gugur lagi. Kuatlah....

Monday, February 8, 2010

Jatuh Cinta

Saya jatuh cinta.

Dengan dia.

Siapa sangka. Banyak sangat yang berlaku akhir2 ini. Kehidupan berlari pantas. Mengejar entah apa.

Sesekali melihat helaian rambut yang makin memutih. Hati berkata: sampai bila harus aku korbankan diri. Demi mencapai cita2.

Saya inginkan senyuman saya kembali.

Lalu, saya bertemu dengannya.

Dalam suasana damai, tenang.

Yang telah lama saya dambakan.

Saya mulai merasa indahnya saat manis bersamanya.

Saya rindukan dia, amat rindu. Saya pasti tidak sanggup untuk hidup tanpanya.

Saya merasa keasyikan cinta.

Saya mula sekali lagi.

Jatuh cinta dengan indahnya ayat2 cinta, dari Pencipta kepada hambaNya.

Ia amat membahagiakan.

Wednesday, January 27, 2010

Pengalaman Manis..

Saya lalui satu pengalaman manis baru-baru. Kalau difikrkan, ia sebenarnya pengalaman aneh...tapi jadi manis.

Sejak 11/12/09 lalu, saya memulakan 'kembara' - mencari diri melalui Al-Quran. Saya gelakkan diri saya mulanya kerana saya tahu 'keupayaan' saya yang selalunya tidak menghabiskan apa yang saya mulakan....

Pada awalnya, pelbagai kesulitan saya tempuh sewaktu saya mulakan kembara saya. Rasa marah, rasa berdebar2, rasa sedih, pilu, muram...hingga hampir membuat saya berhenti meneruskannya. Tapi saya cekalkan hati dan saya teruskan hingga kini, alhamdulillah, saya akan menghabiskan seluruh kitab suci ini sehari dua lagi...

Pelbagai yang saya lalui di sepanjang tempuh ini. Saya akur dengan cantiknya perancangan yang telah Allah aturkan buat saya. Dalam menghadapi kemelut perasaan, saya merasa juga manisnya kenikmatan.

Sebaik pulang dari India, saya menerima panggilan talipon bukan dari seorang, malah hingga kini, (baru 3 hari), 5 orang sahabat yang menyayangi saya; bukan kerana rupa, harta atau nama, tapi kerana Allah.

Namun, yang 'aneh' yang saya alami ialah...panggilan talipon itu saya terima pada ketika saya sedang memikirkan tentang sahabat saya itu, atau perkara yang berkaitan dengan sahabat itu atau apa yang sahabat saya tahu tentang perkara yang saya fikirkan!

Oh Tuhan...syukur ku ke hadrat Mu. SYukur atas nikmat yang Kau beri padaku....

Thursday, January 14, 2010

Siapa?

Sambungan kisah di posting yang lalu. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati. Saya bercita2 untuk menjadi novelis cinta terhebat!!! Hahaha....
****************************

Telah seminggu berlalu sejak aku duduk makan dan di'lamar' oleh Imran. Seminggu juga sejak ku terima warkah dari Fazli. Juga seminggu sudah tidak ku dengar berita atau bertemu dengan Sam. Aku dibuai perasaan. Rindukan gelak dan jenaka Sam yang sering menghiburkan. Rindukan suara Fazli yang lembut dan caring. Rindukah aku pada renungan mata Imran yang tajam???

Namun aku rasa tenang. Otakku tidak lagi berserabut memikirkan siapa yang menjadi pilihanku. Sam ku kenali sejak kecil. Kami sama2 menaiki bas ke sekolah. Kemudian dia ke MRSM. Namun setiap cuti sekolah kami akan bertemu di kampung. Dia pelawak yang sering membuat aku ketawa. Dan dia sahabat karibku...Tiada cacatnya Sam di mataku. Bijak, kacak, bergaya. Semua ada padanya. Namun kenapa aku tidak mampu jatuh cinta padanya?

Fazli ku kenali sewaktu aku di tingkatan empat. Waktu itu Fazli sedang mengikuti kursus persiapan untuk ke luar negara. Sejak itu kami sering berhubung melalui surat dan kad. Fazli suka memanjakan aku dengan hadiah. Sesekali dia pulang bercuti, dia akan menghujaniku dengan coklat, bunga, teddy bear, kad2 ucapan yang indah...dia juga amat suka memuja dan memuji diriku. Sebagai gadis remaja, aku menyukai semua itu. Malangnya, Fazli mengkhianati kesetiaanku. Dia mengaku bahawa dia punya kekasih hati di sana. Alasannya, dia sunyi. Bagaimana pula aku di sini? Aku tolak salam2 persahabatan yang dihulur semata2 kerana dia.... Sekali aku dikhianati, tidak mudah untuk aku memberi kemaafan...

Imran...dia ku kenali melalui Shasha, teman sebilikku. Kami saling tersenyum waktu diperkenalkan. Kemudiannya, aku sering terserempak dengannya di library, di corridoor, di luar bilik kuliah... Banyak sungguh kebetulannya, walhal fakultinya jauh dari fakultiku. Dia sering menghadiahkan aku senyuman manis. Sesekali kami bersembang, bertanya khabar dan bercerita kisah dunia.... Biarpun selalunya ia sebentar cuma, aku akui hatiku berdebar setiap kali aku memandang matanya yang tajam...

Aku makin sibuk dengan kuliah dan tugasan. Exam bakal menjelma. Tumpuanku hanya pada pelajaran. Aku lupa pada kesemua jejaka tampan ini hinggalah satu hari aku terjatuh di tangga library. Bertaburan buku yang ku pegang. Malunya aku tidak terkira. Entah apa yang ku fikirkan bila tiba2 aku terasa aku telahpun terduduk di atas lantai... Ku pandang kiri dan kanan. Banyaknya mata yang memandangku. Rasa sakit punggungku hilang disebabkan malu. Tebal sungguh mukaku. Terasa panas menjalar... Ya Allah... apalah malangnya nasibku hari ni....

Sedang aku berusaha untuk bangun, aku terasa tanganku disambut oleh satu genggaman kuat. Bila ku toleh ke belakang, aku tergamam. Wajah tuanpunya tangan tadi juga berubah menjadi merah. Maluku bertambah....Ingin rasanya aku berlari, tapi, aku terpaku di situ.

"Are you ok?" suara itu berlagu di telingaku.

"I guess so..." jawabku perlahan.

"Cammana boleh jatuh?" tanya tuanpunya suara.

"Entah." jawabku lagi sambil cuba menyarungkan selipar Bata yang ku pakai... Oh... putus rupanya seliparku...

"Selipar you putus. Saiz apa you pakai? I pegi belikan kat Ko-op depan tu. You tunggu I kat luar tu ye?"

"5. Thanks". Aku tidak kagi mampu mengeluarkan suara. Airmata mula mengalir. Kalau tadi aku malu, kini aku rasa sedih dan sakit. Perlahan2 aku berjalan ke kaki lima yang berbumbung. Satu2nya selipar yang aku miliki telah putus. Dan, aku masih terkaku kerana tidak menyangka ada tangan yang sudi membantu aku berdiri semula...

Seketika kemudian dia telah pun berada di hadapanku.

"Diaorang cuma jual selipar Jepun je. Jepun pun Jepun lah ye? Janji you boleh jalan."

Aku sarung selipar Jepun tanpa sepatah kata. Airmata ku mengalir dengan deras tanpa dapat ku tahan. Malu sungguh aku kat dia...

Aku cuba berjalan, namun lututku terasa amat sakit. Langkahku terhenti. Pinggangku juga sakit...

"Myra...I rasa you tak boleh jalan balik ke kolej. Jauh tu. Biar I hantar you balik... Kereta I ada kat sebelah sana. Jom."

Dia menghulurkan tangannya dan mengambil beg yang ku sandang. Fail di tanganku juga diambilnya. Aku terus membisu sambil terdengkut2 mengekorinya.

Sampai ke keretanya, dia bukakan pintu kereta dan terus memandu menuju kolejku. Aku buang pandangan ke luar tingkap. Perasaan malu membuak2 dalam diriku.

Bila dia berhentikan keretanya, aku menoleh ke arahnya. Aku cari matanya. Aku teguk air liur dan aku katakan...

"Terimakasih banyak2 Imran. Tuhan je yang akan balas kebaikan you...."

Aku keluar tanpa menanti jawapannya dan terus menaiki tangga ke bilikku. Degupan jantungku bertambah kuat. Namun, aku terasa hatiku penuh berbunga-bunga. Otakku seolah2 diselaputi awan yang disinari mentari. Senyuman terpalit di wajahku... Hilang semua kesakitan yang ku tanggung...Aku sedang menyanyi...lagu cinta...di dalam hati...

Monday, January 11, 2010

Yang mana satu...

Sampai di bilik, aku campakkan beg di atas lantai dan terus melompat ke atas katil. Panas dan berpusing2 rasanya. Kipas yang berputar laju seakan tidak mampu menyejukkan badanku.

Ingin sekali aku lelapkan mata, namun suara tadi asyik terngiang2 di telinga... alah... bila la benda ni nak hilang?

Sedang aku cuba dan terus mencuba, terdengar pintu bilik terkuak.

"Assalamualaikum...posto! posto! Eh, ko ada Myra... Surat biasa untuk Myra yang tersayang... dan seperti biasa, stemnya sudah ku rembat...!"

Azni mengunjukkan sampul surat tanpa setem kepadaku.

Aku ambil dari tangan Azni dengan lemah..."Thanks..."

"Ko ni kenapa? Happy la beb... Macam tak suka je dapat surat ni?"

"Tak de apa lah..." jawabku ringkas.

Sampul cantik itu ku koyak perlahan. Tulisan cantik itu ku baca satu persatu..

Aku lepaskan keluhan berat. Tiada siapa bersamaku. Hanya surat itu dan aku... Surat yang merentas lautan dan benua sebelum sampai ke tanganku. Surat yang biasanya ku tunggu-tunggu sejak tiga tahun lalu...

Aku merenung jauh ke luar tingkap. Fikiranku kusut. Maafkan dia? Selepas apa yang dia buat padaku? Semudah itu?

Satu demi satu kenangan menerjah. Aku cuba menilai apa yang indah....TIADA.

Sedang aku melamun, aku terdengar namaku dipanggil melalui pembesar suara.

"Myra Zulaikha. Ada seseorang sedang menanti di bawah."

Alah... siapa pulak menyibuk ni?

Aku berlari menuruni tangga. Dan sebaik terpandang susuk tubuh yang membelakangiku, aku terhenti.

"Apa you buat kat sini?" aku tanya tuanpunya susuk tubuh tadi.

"Hai Myra. I lalu tadi. Terfikir nak ajak you gi minum. Jom?"

"Malaslah Sam. I letih..."

"Ala you ni... sesekali I datang jauh2 ni nak ajak you sembang2... Marilah. Kat depan tu je."

Sam belajar di universiti lain. Tapi selalu melepak dengan geng2nya di kampusku. Dia satu antara ramai yang sedang mencuba nasib...

"Okaylah. Kejap je. I betul2 tak de mood".

Sambil menghirup teh tarik, aku dengar cerita merapu Sam. langsung tidak menarik minatku.

"You ni kenapa Myra? Macam orang tengah frust menonggeng je?"

Aku jeling muka Sam yang poyo...

"Ya... dah tau kenapa tanya?"

"La....I ni kan ada? Bagilah peluang kat I, Myra. I akan bawa you ke mana saja... ke bulan, ke bintang???"

Aku betul2 bengang dengan Sam. Hampir menitis airmataku....

Tiba2 suara Sam berubah perlahan...

"Tell me, Myra. What happened?"

Aku terpana mendengar suara Sam yang lembut. Aku pandang tepat ke wajahnya. Tiba2 aku rasa airmata panas membasahi pipiku....

Aku tundukkan wajah. Mata redup Sam terus memerhatikanku...

"Sam, Mamat tu nak sambung kembali hubungan kami. I hate him so much, but he is always very special in my life. I dah penat menunggu, in fact I buang masa tunggu dia selama ni... and, to make things worst, I've met someone else... and, I think I ... like him...." suaraku perlahan2 keluar dan aku angkat muka memandang wajah Sam. Sam tersandar ke belakang. Wajahnya mendung, tiada lagi senyuman di bibirnya. Dia mengalihkan pendangan, jauh entah ke mana...

"I am so sorry, Sam. You are my friend, my good friend. And, good friends will not fall in love with each other..." hanya hatiku yang mampu berkata2...

Sam bangkit dan terus berlalu selepas membayar harga makanan kami. Aku cuba mengejarnya, tapi Sam pantas memulas kunci motor dan terus memecut....

Friday, January 8, 2010

Sampai bulan...

Kami makan tengahari bersama lepas kuliah. Kafetaria di asrama Kenanga dipenuhi ramai pelanggan. Aku teragak2 untuk memandang matanya. Itu kali pertama kami bersama.

Entah mengapa, dia mengajakku. Dan aku juga tidak punya jawapan kenapa aku mahu keluar bersamanya.

Nasi ayam yang ku makan terasa tawar. Aku mula bercakap dan bercakap, tentang kelas, tentang subjek, tentang lecturers... walhal dia bukan tahu apa yang aku ceritakan. Dia hanya tersenyum memandangku. Aku harus memuji wajah tampannya. Hidungnya mancung, bibirnya merah, matanya redup, tajam dan amat menarik perhatianku.

Dia terus tersenyum. Aku makin kalut. Tidak pernah aku direnung begitu. Siapa dia sebenarnya? Aku pun tak tahu...

Dia baru saja aku kenali. Sesekali bertembung sewaktu dalam perjalanan ke kelas, atau di library. Dia rapat dengan kawan2 baikku, namun dia tidak pernah berbual denganku. Yang aku tahu, dia pendiam orangnya.

Bagaimana boleh aku keluar makan dengan dia? Itu persoalannya. Selalunya aku tidak akan menerima ajakan sesiapa. Aku cukup setia.

Sewaktu aku sibuk mengemas nota2ku selepas berakhirnya kelas, aku terpandang satu wajah yang memenuhi fikiranku sejak akhir2 ini. Dia berdiri sambil menyandarkan badannya yang tinggi lampai ke dinding di luar kelasku. Jantungku berdegup kencang. Adakah dia menungguku? Bagaimana dia tahu aku ada di kelas ini? Dia bukan satu fakulti denganku....Ahhh...perasan rupanya aku... Angananku terhenti bila ku lihat dia bersembang dengan dua pelajar lelaki lain.

Aku terus keluar dari kelas dan mahu segera pulang ke kolej. Lapar. Maklum saja kelas bermula awal pagi dan berterusan hingga tengahari.

Tiba-tiba aku terdengar suara di belakangku:

"Lajunya... nak kejar apa?"

AKu menoleh. Dia sedang mengejarku dari belakang.

Aku toleh ke tempat lain. Mana tahu dia bukan bercakap denganku...

"Myra...saya sedang kejar awak ni...."

Langkahku terhenti. Aku pandang wajah tampan itu. Kulitnya yang kemerah2an, matanya tajam kelihatan di sebalik kacamata...

"Sorry...I ingat you cakap dengan siapa... Yeah...Saya sedang kejar makanan..." jawabku selamba.

"Saya pun lapar. Jom kita makan?"

"I want to go back to Delima. You?"

"I want to walk with you...."

Ohhhh... bagaikan gugur jantungku.

Kami berjalan beriringan. Sampai di simpang Kenanga, dia kata

"Saya belanja awak hari ni."

"You kena loteri ke?"

"Haah...boleh kan?"

"Why not?" Ahhh... mulut ni, menjawab tanpa berfikir.

Makanya, aku pun makan berdepan dengan dia. Matahari yang terpacak membuat peluhku mercik merata2, tapi aku terasa tangan dan kakiku sejuk.

Aku kehabisan modal untuk bercerita lagi. Aku minum air sirapku habis dan mula memandang keliling. Ada juga wajah2 yang ku kenal... tersenyum simpul memandangku. Malunya...

"Myra...may I ask you something?"

"What?"

"You ada boyfriend?"

Eh mamat ni...sedapnya bahasa... Tak de filter langsung!

"Yes and no". Alah... kenapa jawab?

"Maksudnya?"

"I had."

"Oh... I am glad to hear that".

Hey!!! Ada ke patut dia kata gitu?

"Kenapa you tanya?"

"Sebab I nak tanya you sampai mana kita nak berkawan...?"

What? Aku tak kenal dia pun!!!!

Entah kenapa laju ke mulutku menjawab...."Sampai bulan...sampai bintang...sampai pucuk kayu ara..."

Dia ketawa besar. Aku termalu. Merah padam wajahku....

"Can I propose you to be my special girlfriend?". Suaranya perlahan, wajahnya betul2 di hadapan wajahku, matanya merenung tepat ke dalam mataku....

"Aaarrr....let me think about it... I don't know you. I think you are crazy. Kita baru kenal...Give me time..."

Aku angkat beg dan jalan selaju2nya meninggalkan kafetaria Kenanga menuju ke Kolej Delima....Seribu satu persoalan menerpa fikiranku. Pandanganku terasa kelam, otakku berdengung, langkahku sumbang....Aku rasa nak menjerit sekuat hati. Aku rasa nak nangis. Aku rasa nak lompat. Aku rasa melayang2....

Sahabat

Sahabat saya tak ramai. Kawan saya melambak2.

Antara sahabat yang saya ada ialah Ginny. Dia cantik, kaya dan bergaya. Dia baik, tapi satu je kurangnya dan lebihnya dia... lurus bendul.

Ginny selalu kena buli dengan Jaafar. Saya sebagai Aladdin, kesian sangat kat Ginny, tapi sebab Ginny ni lurus bendol, apa je yang orang bagitau kat dia, dia ingatkan betul. Sakit hati dibuatnya.

Lama dah Ginny ni jadi kawan saya. Entah kenapa dia boleh percaya kata2 orang pasal saya kat dia. Saya ni pulak, ke mana jugak saya pegi, mesti ada orang tak suka. Mesti ada orang nak jatuhkan saya. Bukannya saya ni pandai ke, seksi ke, kaya ke... saya cuma cari makan je. So, si Ginny pun menjauhkan diri dari saya dan berkerat rotan dengan saya tanpa saya tahu apa sebabnya.

Selepas berbulan Ginny tak pandang muka saya pun, tadi saya tegur dia dan tawarkan dia sesuatu. Saya memang tak ada prasangka kat Ginny. Saya langsung tak perjudis dengan dia. Saya anggap dia ni bodoh sebab tak tau bezakan yang benar dan yang salah...

Akhirnya, di hadapan saya, berderai airmata Ginny menceritakan kisah benar. Rupanya Jaafar sudah memfitnah saya cukup2 kow punya. Aduhai...sedihnya saya tak terkata. Tapi, saya boleh sabarkan diri dan buat as though tak de apa2. Malas nak layan benda2 bodoh ni. Tuhan kan ada?

Ginny peluk saya dan mohon maaf atas apa yang berlaku. Dia juga mengaku yang sang Raja amat mempertahankan saya. Malangnya, saya kena tempuh tohmahan dan hinaan, serta prasangka dan prejudis sebelum kebenaran terbongkar....Ahhh... cabaran Nabi Yusuf lagi banyak...hingga terpenjara. begitu juga Hassan Al Banna, Gandhi, mandela, DSAI... hampir kesemua pemimpin agung difitnah tanpa belas kasihan. Namun mereka tetap gagah. Tapi, saya ni hanya manusia biasa yang lemah, hina dan miskin....

Sahabat saya yang sebenar adalah mereka yang menerima saya seadanya....

(Kisah ini saya tulis sambil menonton movie Aladin di Disney Channel...)

Wednesday, January 6, 2010

Besarnya hatiku....

Saya rasa nak lompat2. Rasa nak jerit sekuat hati. Gembiranya....sabar Su, belum boleh celebrate lagi.

Tuhan...syukurku ke hadratMu. Apa yang Kau beri amat besar maknanya kepadaku yang hina dan lemah ini. Tiada apa yang mampu aku lakukan selain dari mengucapkan rasa syukur yang teramat sangat.

Semoga apa yang saya perolehi hari ini tidak terhalang oleh apa jua pun. Dan semoga doa ini diperkenankan.

Amin.

Monday, January 4, 2010

Bounced!

Hidup ini ibarat roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Itu semua orang pun tahu.

Hidup ini perlukan tindakan pantulan. Kalau di bawah, kena memantul balik supaya kembali duduk di atas. Itu pun semua orang tahu.

Yang ramai tak tahu ialah bagaimana untuk memantul.

Saya telah temui ramai orang yang pernah berada di atas, jatuh ke bawah, naik ke atas kembali, jatuh juga, tetapi tetap memantul kembali. Antaranya, kesemua mereka yang berjaya hari ini pernah merasa berada di bawah, di atas, memantul, jatuh dan kembali ke atas. Namun hakikatnya, ramai juga yang tersungkur terus...

Saya bercadang untuk menulis buku tentang mereka yang telah berjaya memantul kembali selepas jatuh tersungkur. Mereka adalah role model yang sebenar dalam kehidupan. Mereka ini risk taker, yang tidak pernah memikirkan jalan selamat untuk mencapai kejayaan cemerlang, namun mampu menangani risiko dengan jayanya.

Sekiranya ada sesiapa di fikiran pembaca yang boleh dijadikan role model, sila beritahu saya...