Friday, April 23, 2010

Ilmu yang diamalkan

Boss saya sedang mencari nota tentang amalan2 yang perlu dilakukan - yang dikongsikan oleh seorang sahabat. Saya kebingungan kerana saya memang tidak ada idea di mana dia letakkan buku notanya itu.

Malam tadi saya bersembang dengan kawan lama. Dia bercerita dan bercerita. Saya hanya mendengar dan mengiyakan. Dia minta pendapat saya dan saya berikan kepadanya apa yang dia mahu. Saya kongsikan dengannya apa yang perlu dia lakukan unuk mengatasi masalahnya.

Saya duduk makan tengahari dengan seorang teman lama semalam. Dia usahawan berbangsa Cina yang berjaya daan cukup rajin. Saya kagum dengan keupayaannya. Seorang anak muda berwawasan yang tidak menjadikan bangsa dan agama sebagai sempadan persahabatan. Baginya saya adalah seorang yang sering mendorongnya untuk maju ke hadapan. Dan, tiba masanya untuk dia bersama saya menghadapi realiti kehidupan ini bersama.

Minggu lepas, saya diundang menjadi panel forum di UNISEL. Saya bercakap tentang Financial Reporting Standard. Satu bidang yang amat saya minati dan di hadapan saya waktu itu ada hampir 500 audien. Saya berdoa semoga apa yang saya sampaikan menjadi amalan baik mereka.

Bulan lalu saya diundang memberi ceramah tentang Personal Branding dan Mind Setting kepada bakal2 peguam. Saya berbesar hati kerana mereka mahu mendengar celoteh saya yang tidak seberapa.

Saya teruja setiap kali ada yang menghubungi saya untuk meminta pendapat dan nasihat tentang impian dan harapan mereka. Hati saya selalu besar jika mereka meminta bantuan saya, dalam bidang yang menjadi kesukaan saya ataupun kepakaran saya.

Saya tidak punya wang untuk disumbangkan. Saya selalu berdoa dan berharap Tuhan mengurniakan kekayaan kepada saya supaya saya boleh mengkayakan orang lain. Itu impian saya. Tapi saya juga pasti bahawasanya ilmu yang diajarkan dan diamalkan oleh orang lain adalah saham akhirat saya. Guru2 yang mengajar pastinya manusia yang paling bertuah kerana mereka sentiasa menanam saham akhirat. Saya tidak berpeluang menanam saham seperti para guru.

Makanya, berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada adalah satu dari tinggalan saya di dunia ini - Ilmu yang diamalkan.

No comments:

Post a Comment